Wednesday 10 April 2013

Pahit Manis Perjuangan


Petang hari isnin 25 Mac 2013, jam 3.30 petang. Hujan lebat mula membasahi bumi Dun Senaling. Empat kelibat manusia ( termasuk penulis ) berteduh dalam kesejukan dan basah kuyup di sebuah pondok di Dataran Dioh. Masing-masing menanti hujan teduh. Jika tidak rancangan petang itu untuk menaikkan billboard di Sawah Lebar terpaksa dibatalkan.


   Hujan lebat yang turun agak lama menjadikan kami mula gatal tangan. Masa yang ada tidak mungkin disia-siakan begitu sahaja. Buluh yang sedia kami bawa diturunkan dari atas lori lalu diraut halus-halus. Uda Sidi memang pakar tentang perkara ini, lalu dialah yang menghulurkan kepakarannya. Dolah Klate sedia membantu.


   Abang Aziz, sudah tidak tahan duduk diam. Biarpun kesejukan, pengalamannya dalam tentera membuatkan dia menjadi lincah mengatur langkah. Kalau sudah darah pendekar, pendekarlah jua. Biar berhujan perjuangan tetap diteruskan.


   Uda Sidi teliti meraut buluh. Lagaknya seperti pakar membuat wau. Sambil meraut buluh mulutnya tak henti menerangkan bagaimana serasinya kibaran bendera dengan buluh yang diraut cantik dan halus. Bagaimana mudahnya kain bendera meliut dan berkibar megah mengikut arah tiupan angin. Uda Sidi begitu teliti. Dia tidak mahu kecewa memandang bendera terlilit ditiang ketika ia sudah siap dipacakkan.


   Hujan mulai berhenti lebih kurang pukul 4.30 petang. Dolah Klate memulakan langkah dengan membuka bendera lama yang kelihatan kurang menarik. Dolah Klate memang cukup mahir dengan hal-hal melibatkan ketinggian. Kerja-kerja memasang wayar dan menurunkan buah kelapa serah sahaja kepadanya. Untuk kerja menurunkan buah kelapa Dolah tidak memanjat. Diserahkan sahaja tugas itu kepada beruk peliharaannya. Giliran dia menjadi bos barangkali. Syukur sangat-sangat kepada Allah swt apabila setiap diantara kami dapat menginfakkan tenaga dan kemahiran di jalan Allah. Sama-sama ingin melihat pemerintahan islam yang adil bagi semua kaum tertegak di bumi Malaysia.

   Keserokan dan kepuasan terpancar diwajah pejuang-pejuang ini tatkala bendera berjaya dikibarkan dan diikat kukuh pada tiang. Penulis sendiri turut merasai warna-warna perasaan yang tergambar diwajah mereka. Sesungguhnya semangat juang dan keikhlasan sangat sebati dalam jiwa dan perjuangan mereka. Begitulah perjuangan yang tidak berpaksikan kepada pujian dan wang ringgit.


Akhirnya berkibarlah dengan megahnya bendera Parti Islam SeMalaysia (Pas) di hadapan Dataran Dioh. Allahuakbarr!
 
 "Dolah! Dolah! Macam mano nak tughun ni??! "

" Huk aloh! Manolah kawe tahu..kawe pun tengoh pikir ni.. "

No comments:

Post a Comment